SILA KLIK DI SINI

Friday, December 24, 2010

Tidak akan berhimpun orang kafir dan pembunuhnya di dalam neraka selama-lamanya



T   عن أبى هريرة  , إن رسول الله
 قال : " لا يجتمع كافر وقاتله في النار أبدا " .

Maksudnya  :
           
“ Daripada Abi Hurairah r.a , sesungguhnya RasuluLlah s.a.w. telah bersabda  : “ Tidak akan berhimpun orang kafir dan pembunuhnya di dalam neraka selama-lamanya “


PERAWI SAHABAT[1]

            Perawi yang meriwayatkan hadith ini adalah seorang sahabat RasuluLlah s.a.w. iaitulah Abu Hurairah r.a. .

            Abu Hurairah Al-Dausi Al-Yamani adalah sahabat RasululLah s.a.w. Beliau adalah seorang sahabat yang hafidz. Ada berlaku perselisihan berkenaan nama beliau , begitu juga dengan nama bapa beliau.

            Ada yang mengatakan bahawa nama beliau adalah ‘Abd Al-Rahman bin Sokhor, Ibn Ghonam, ‘Abd Allah  ibn ‘Amir , Ibnu ‘Amru dan banyak lagi. Berkata Hisyam Al-Kalbi  : ” Namanya adalah ‘Umair bin ‘Amir bin Zi Al-Syarriy bin Torif bin ‘Ayyan bin Abi So’ib bin Hanid bin Sa’ad bin Tha’labah  ibn Sulaim bin Fahm bin Ghonam bin Daus “. Dikatakan juga bahawa nama beliau pada Zaman Jahiliah adalah ‘Abd Syams dan gelarannya adalah Abu Al-Aswad .Beliau dinamakan oleh Rasulullah S.A.W. dan diberi gelaran oleh Baginda ‘ Abu Hurairah” disebabkan beliau membawa anak –anak kucing . Dan dikatakan bahawa ibunya bernama Maimunah bint  Sokhor.


PERIWAYATAN :

            Beliau adalah seorang sahabat yang banyak menghafadz dan mengambil hadith . Beliau mengambil hadith daripada RasululLah s.a.w. , Abu Bakr , ‘Umar , Al-Fadl bin ‘Abbas bin ‘Abd Al-Muttolib, Ubai bin Ka’ab , Usamah bin Zaid dan ramai lagi.

            Berkata Imam Bukhari : Diriwayatkan daripada Beliau ( Abu Hurairah ) oleh lebih kurang 800 perawi atau lebih yang terdiri daripada Ahl Al-‘Ilm daripada para sahabat , tabi’in dan sebagainya.


Berkata ‘Amru bin ‘Ali : Adalah permulaannya dan keislaman beliau adalah pada tahun Khaibar dan Khaibar adalah pada bulan Muharram, tahun yang ketujuh hijriyyah. Beliau adalah antara tanda-tanda kenabian  kerana sesungguhnya Abu Hurairah adalah yang paling hafadz tentang hadith berbanding mereka yang hidup sezaman dengannya, dan tidak ada satu hadith yang datang daripada seorang sahabat pun melainkan ianya ada disisi Abu Hurairah r.a.

Berkata  Ibn ‘Uyainah daripada Hisyam bin ‘Urwah : “ Abu Hurairah dan ‘Aisyah meninggal pada tahun 59 hijrah”.

Berkata Dhomroh bin Rabi’ah dan Al-Hatham bin ‘Adi dan Abu Ma’syar :” pada tahun 58 hijrah”.

Berkata pula Al-Waqidi dan Abu ‘Ubaid dan lainnya :” pada tahun 57 hijrah”. Dan Al-Waqidi menambah dengan mengatakan bahawa : “dalam usia 78 tahun “.


Abu Hurairah r.a. sempat menyembahyangkan  ‘Aisyah pada  bulan Ramadhan, tahun yang ke-58 hijrah dan Umm Salmah pada bulan Syawal, tahun yang ke-59 hijrah dan kemudian  beliau pun meninggal dunia dalam tahun yang sama (59 hijrah ).

Berkata Ibnu Hajar Al-‘Asqolani : “ Ini adalah diantara kesilapan Al-Waqidi yang jelas. Sesungguhnya Umm Salmah adalah masih hidup sehingga tahun yang ke-61 hijrah , sebagaimana yang dicatatkan oleh Imam Muslim di dalam turjumahnya . Dan yang paling zahir dan jelas adalah sesungguhnya yang disembahyangkan oleh Abu Hurairah keatasnya dan meninggal bersamanya dalam tahun yang sama adalah ‘Aisyah sebagaimana yang dikatakan oleh Hisyam bin ‘Urwah bahawa kedua-duanya meninggal pada tahun yang sama.


KELEBIHANNYA :


            Dan diantara kelebihan yang ada pada Abu Hurairah adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Nasai di dalam sunannya  : -

“ Sesungguhnya seorang lelaki telah mendatangi Zaid bin Thabit dan bertanyakan kepadanya tentang sesuatu, maka berkata Zaid kepadanya : ‘ pergilah kepada Abu Hurairah , kerana sesungguhnya ketikamana aku bersama Abu Hurairah dan seorang fulan berada dalam masjid pada satu hari, kami berdo’a dan menyebut do’a tersebut lalu datang RasululLah s.a.w.  ke arah kami dan kami pun senyap .Maka berkata Rasulullah S.A.W. : “ Buatlah sebagaimana yang kamu sedang buat “.Dan berkata Zaid :” Maka kami pun berdo’a , begitu juga sahabatku sebelum Abu Hurairah. Dan RasululLah s.a.w. pun meng-amin-kan do’a kami”. Kemudian tatkala Abu Hurairah berkata  :” Ya, Allah ,Sesungguhnya aku meminta kepadamu apa-apa yang yang diminta oleh sahabatku, dan aku meminta kepadamu ‘ilmu yang tidak akan lupa”:. Maka RasululLah s.a.w. pun mengatakan :” Telah mendahului kamu semua dengannya oleh Al-Ghulam Al-Dausi (Abu Hurairah)”.

TAKHRIJ

*      Al-Imam Muhyiddin Al-Nawawi ( 676 H ) , Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, KitabAl-Imarah, Bab Sesiapa yang membunuh orang kafir kemudian dia menemui jalan yang betul, nombor hadith 4872, Juzu’ 13 , Darul Ma’rifah, Beirut, Lubnan

Dengan lafadz :-

j            
 
حدثنا يحيى بن أيوب, وقتيبة , وعلى بن حجر,  قالوا : حدثنا إسماعيل – يعنون  : ابن حجر - , عن العلاء , عن أبيه , عن أبى هريرة  : أن رسول الله           قال : " لا يجتمع كافر وقاتله فى النار أبدا".

*      Al-Imam Al-Hafiz Abi Daud Sulaiman bin Al-Asy’ath Al-Sajastani Al-Azdi, Sunan Abi Daud, Kitab Al-Jihad,  Bab : Berkenaan kelebihan orang yang membunuh orang kafir ( nombor hadith 2495 ), Juzu’ 3, m/s 17, Muhammad ‘Ali Al-Sayyid, Himsh.

Dengan lafadz :-

2495- حدثنا محمد بن الصباح البزاز حدثنا إسماعيل- يعنى ابن جعفر- عن العلاء عن أبيه عن أبى هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " لا يجتمع فى النار كافر وقاتله أبدا "

HURAIAN HADITH

Sabda RasuluLlah s.a.w. “ Tidak akan berhimpun orang kafir dan pembunuhnya di dalam neraka selama-lamanya”  ini terdapat riwayat lain yang berbunyi :-

" لا يجتمعان فى النار إجتماعا يضر أحدهما الأخر , قيل : من هم يا رسول الله  قال : مؤمن قتل كافرا ثم سدد "

Berkata Al-Qhadi berkenaan riwayat yang pertama iaitu riwayat   " لا يجتمع كافر وقاتله فى النار أبدا". “ berkemungkinan sesungguhnya ini adalah dikhususkan bagi sesiapa yang telah membunuh  orang kafir di dalam medan jihad lalu hal yang demikian itu telah menghapuskan dosa-dosanya sehinggalah dia tidak akan diazab (disebabkan dosanya yang telah lalu) ataupun disebabkan oleh niatnya yang khusus. Dan berkemungkinan juga bahawa sesungguhnya azabnya itu akan dikenakan juga ke atas dia tetapi ditempat yang bukan neraka seperti dikurung atau ditahan di dalam   الأعراف " “ terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam syurga. Dan dia juga tidak akan masuk neraka ataupun dia akan di kenakan azab ditempat yang bukan tempat azab bagi orang kafir dan kedua-duanya tidak akan berhimpun untuk satu tempat iaitu neraka[2].




Dan adapun bagi riwayat yang kedua iaitu :-
لا يجتمعان فى النار إجتماعا يضر أحدهما الأخر ” maka ia menunjukkan tentang satu perhimpunan yang khusus . Dan berkata Al-Qhadi bahawa ia ( hadith ini )  mempunyai kemusykilan  dari sudut maknanya dan yang paling baik pada pandangan kami ialah bahawa sesungguhnya kedua-duanya tidak akan berhimpun di dalam waktu yang akan dilakukan azab atau balasan tersebut kerana hal masuknya orang mukmin  bersama orang kafir itu akan memalukannya. Dan sesungguhnya keimanannya dan pembunuhannya terhadap orang kafir itu tidak akan dapat memberikan manfaat kepadanya . Dan terdapat beberapa hadith yang memperkatakan tentang hal ini , akan tetapi , sabdaan baginda di dalam hadith ini iaitu :  Orang beriman yang membunuh orang kafir kemudian dia mendapat jalan yang betul “ adalah musykil ataupun sulit kerana orang beriman apabila dia mendapat jalan yang betul bermakna dia akan sentiasa berdiri di atas landasan yang betul dan tidak akan bercampur dan tidak akan masuk neraka mengikut konsep asasnya  samada dia membunuh orang kafir ataupun dia tidak membunuhnya.

Berkata Al-Qhadi : “ Dan makna yang dikehendaki menurut pandanganku ialah bahawa sabdaan baginda “  "ثم سدد " itu adalah kembali kepada orang kafir yang membunuh lalu sesuailah maksud hadith tersebut dengan hadith yang bermaksud bahawa Allah mentertawakan kepada 2 orang lelaki yang berbunuhan sesama mereka  lalu kedua-duanya memasuki syurga. Dan segolongan daripada ulama’ berpandangan bahawa lafaz ini ada berlaku perubahan di kalangan ahli hadith yang meriwayatkannya dan sesungguhnya lafaz yang betul ialah “ orang mukmin yang telah dibunuh oleh orang kafir lalu orang kafir tersebut mendapati jalan yang betul “, maka dengan ini sesuailah maksud hadith tersebut dengan hadith yang bermaksud “ tidak akan berkumpul atau berhimpun kedua-duanya di dalam neraka sedangkan kedua-duanya saling memudharatkan diri masing-masing “ataupun kedua-duanya tidak akan dimasukkan ke dalam neraka untuk pembalasan.[3]

PENGAJARAN HADITH

1.     Sesungguhnya orang yang beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak akan berkumpul bersama-sama orang yang kufur dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala di akhirat kelak selama-lamanya.

2.     Orang-orang yang kufur dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan ditempatkan di dalam tempat yang telah dijanjikan oleh Allah kepada mereka iaitulah neraka Allah Subhanahu Wa Ta’ala manakala orang-orang yang beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala pula akan ditempatkan di tempat yang penuh dengan kenikmatan dan kesenangan yang sesuai dengan kepatuhan dan ketaatan yang telah dilakukan semasa di dunia .

3.     Orang kafir yang telah membunuh orang mukmin kemudian dia mendapat hidayah daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala lalu dia bertaubat , dia akan diampunkan dan akan dimasukkan juga di dalam syurga Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bertepatan dengan maksud hadith :-

  bahawa Allah mentertawakan kepada dua orang yang berbunuhan sesama mereka akan tetapi kedua-duanya akan dimasukkan ke dalam syurga iaitulah salah seorang daripada mereka membunuh seorang yang lain di medan peperangan lalu yang dibunuh itu pun gugur syahid , kemudian orang membunuh tadi pula bertaubat dan memeluk Islam dan dia berjihad pula di jalan Allah lalu dia gugur syahid pula “

  1. Sesungguhnya petunjuk hidayah itu adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta’ala  dan tidak seorang pun yang boleh memberikan hidayah kepada orang yang lain walaupun orang itu adalah RasuluLlah s.a.w.

  1. Ketentuan balasan di akhirat kelak juga adalah hak Allah SubhanahuWa Ta’ala dan barangsiapa yang dikehendaki olehnya untuk dimasukkan ke dalam syurga , Dia akan masukkannya ke dalam syurga dan barangsiapa yang Dia tidak menghendaki , maka Dia tidak akan masukkannya.ke dalam syurga .



[1] Tah zib Al-Tahzib , Ibn Hajar AL-Asqolani, juzu’ 5 , m/s  479
[2] Al-Imam Muhyiddin Al-Nawawi ( 676 h) , Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Juzu’ 13, m/s 39, Darul Ma’rifah, Beirut, Lubnan.
[3] Imam Muhyiddin Al-Nawawi , Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim , Kitab Al-Imarah , Bab “ Siapa yang membunuh orang kafir kemudian mendapat jalan yang betul”,  Juzu’ 13, m/s 40 , Dar Al-Ma’rifah.

No comments:

Post a Comment