SILA KLIK DI SINI

Friday, December 24, 2010

seorang hamba yang tidak pernah terpalit debu di kedua kakinya di jalan Allah maka dia akan disentuh oleh api neraka



T 957- عن أبى عبس , قال : قال رسول الله
 : " ما اغبرّت قدما عبد فى سبيل الله فتمسّه النار ".

Maksudnya :

            Daripada Abi ‘Abbas r.a. telah berkata : Telah bersabda RasuluLlah s.a.w.  : “seorang hamba yang tidak pernah terpalit debu di  kedua kakinya di jalan Allah maka dia akan disentuh oleh api neraka “


PERAWI HADITH

Perawi hadith ini adalah ‘Abd Al-Rahman bin Jabr bin ‘Amru bin Zaid bin Jusyam bin Harithah bin Al-Harith bin Al-Khazraj bin ‘Amru bin Malik bin Al-Aus – dan dikatakan juga bahawa keturunan beliau adalah selain daripada yang disebutkan -.[1]

Beliau telah diberi gelaran dan nama panggilan dengan nama Abu ‘Abas Al-Ansari Al-Ausi Al-Harithi. Nama beliau sebelum Islam ialah ‘Abd Al-‘Uzza lalu beliau dinamakan oleh RasuluLlah s.a.w. dengan nama ‘Abd Al-Rahman.[2]

Beliau telah menyertai peperangan Badar yang mana beliau pada ketika itu sedang berumur  48 tahun dan beliau ini merupakan salah seorang yang telah membunuh Ka’ab bin Al-Asyraf Al-Yahudiyy yang telah menyakiti RasuluLlah s.a.w. dan orang-orang Islam.[3]

Beliau telah meriwayatkan hadith daripada RasuluLlah s.a.w. manakala mereka yang telah meriwayatakan hadith daripada beliau ialah anaknya sendiri iaitu Zaid dan cucunya Abu ‘Abas bin Muhammad bin Abi ‘Abas, ‘Ababah bin  Rifa’ah bin Rafi’ bin Khadij.[4]

Beliau meninggal dunia pada tahun 34 Hijrah iaitu dalam usianya 70 tahun dan dikebumikan di Perkuburan Baqi’. Beliau disembahyangkan oleh ‘Uthman  r.a.[5]. Begitulah juga sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn ‘Abd Al-birr.Imam Al-Asqalani berkata bahawa inilah yang dikatakan oleh Ibn Sa’ad , Ibn Al-Barqi , Ibn Hibban dan ramai lagi. Manakala Ibn Sa’ad menambah bahawa beliau ini ( Abu ‘Abas) telah dipersaudarakan oleh RasuluLlah s.a.w. dengan Habishy bin Huzafah dan beliau ini bersama-sama Abu Burdah telah menghancurkan berhala-berhala Bani Harithah ketika kedua-duanya telah memeluk Islam.[6]

TAKHRIJ

*            Al-Bukhari, Al-Imam Al-Hafiz Abu ‘AbdiLlah Muhammad bin Ismail , Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-Jihad, Juzu’ 2, m/s 309, nombor hadith 2811, Dar Ihya’ Al-Turath Al’ ‘Arabi, Beirut , Lubnan.

Dengan lafadz :

حدثنا إسحاق أخبرنا محمد بن المبارك حدثنا يحيى بن حمزة قال : حدثنى يزيد بن أبى مريم إخبرنا عباية بن رفاعة بن رافع بن خديج قال : أخبرنى أبو عبس هو عبد الرحمن بن جبر أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : " ما اغبرّتا قدما عبد فى سبيل الله فتمسه النار "


*            Al-Imam Al-Hafidz Abi ‘Isa Muhammad Bin ‘Isa Bin Surah Al-Tirmizi ( 209-279 ), Sunan Al-Tirmizi (Al-Jami’ Al-Sahih ), Kitab Fadhail Al-Jihad, Bab siapa yang menjejakkan kedua kakinya di jalan Allah, hadith nombor 1682, Juzu’ 3, Di tahqiq oleh ‘Abd Al-Rahman Muhammad ‘Uthman, Cetakan Matba’ah Al-Fahalah Al-Hadidah.

Dengan lafadz :

1682- حدثنا أبو عمّار حدثنا الوليد بن مسلم عن يزيد بن أبى مريم قال : لحقنى عباية بن رِفاعة بن رافع وأنا ماشٍ إلى الجمعة فقال : أبشر فإنّ خطاك هذه فى سبيل الله سمعت أبا عبس يقول  : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( من اغبرّت قدماه فى سبيل الله فهما حرام على النّار ) . هذا حديث حسن غريب.


*    Al-Imam Ahmad bin Hanbal, Musnad Al-Imam Ahmad Bin Hanbal, Jilid 2, nom bor hadith 15977, m/s  479, Muassasah Qurtubiah.

Dengan lafadz :-
حدثنا عبد الله حدثنى أبى ثنا ألأوليد بن مسلم قال سمعت يزيد بن أبى مريم قال لحقنى عباية بن رافع بن خديج وأنا رائح إلى المسجد إلى الجمعة ماشياً وهو راكب قال أبشر فإنى سمعت أبا عبس يقول قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من اغبرت قدماه فى سبيل الله عز وجل حرّمهما الله عز وجل النار "

HURAIAN HADITH


Hadith yang disebutkan di atas ini adalah hadith yang berkaitan dengan kelebihan orang-orang yang pergi berjuang di jalan allah Subhanahu Wa ta’ala iaitulah  mereka akan terselamat daripada dicampak ke dalam api neraka Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Sebelum menulis hadith ini, Imam Al-Bukhari telah membawakan terlebih dahulu ayat Al-Quran daripada surah Al-Taubah , ayat 120 sebagai syahid kepada hadith yang akan dibincangkan ini iaitulah :-

"مَا كَانَ لِأَهْلِ المَدِينَةِ وَمَن حَوْلَهُم مِّنَ الأَعْرَابِ أَن يَّتَخَلَّفُوْا عَن رَّسُولِ اللهِ وَلَا يَرْغَبُوا بِأَنْفُسِهِمْ عَن نَّفْسِهِ ذَلِكَ  بِأَنَّهُم لَا يُصِيْبُهُم ظَمَأٌ وَلَا نَصَبٌ وَلَا مَخْمَصَةٌ فِى سَبِيْلِ اللهِ وَلَا يَطَئُوْنَ مَوْطِئًا يَغِيْظُ الْكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِن عَدُوٍّ نَّيْلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُم بِهِ عَمَلٌ صَالِحٌ إِنَّ اللهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ المُحْسِنِيْنَ "

Ibn Battol berkata bahawa diantara ayat-ayat tersebut, yang sesuai dengan tajuk hadith ini adalah ayat وَلَا يَطَئُوْنَ مَوْطِئًا يَغِيْظُ الْكُفَّارَ dan juga ayat إِلَّا كُتِبَ لَهُم بِهِ عَمَلٌ صَالِحٌ . Beliau berkata lagi bahawa RasuluLlah s.a.w. telah mentafsirkan bahawa amalan salih  itu tidak akan disentuh oleh api neraka dan beliau berkata lagi bahawa yang dimaksudkan dengan di jalan Allah itu adalah kesemua ketaatan yang dilakukan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Akan tetapi, apabila disebut sahaja di jalan Allah , nescaya akan tergambar di kepala kita bahawa yang dimaksudkan di jalan Allah itu adalah berjihad di jalan Allah[7].

Ibn Al-Munir berkata bahawa persamaan yang ada di antara ayat tersebut dengan hadith ini adalah dari satu aspek sahaja iaitulah sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala  akan memberikan balasan pahala diatas setiap langkah-langkah perjalanan walaupun dia itu tidak terlibat secara langsung di dalam medan peperangan jihad. Begitulah juga hadith ini, ia menunjukkan bahawa barangsiapa yang menjejakkan kedua kakinya di jalan Allah Subhanahu Wa Ta’ala maka Allah akan mengharamkan api neraka untuk menyentuhnya samada dia terlibat secara langsung di dalam peperangan ataupun tidak.[8]

Dan yang dimaksudkan dengan lafaz فتمسه النار ( maka dia akan disentuh oleh api neraka ) ialah ia menunjukkan tentang tiadanya kesan palitan debu di kedua-dua kaki di jalan Allah. Maka yang demikian itu menunjukkan bahawa betapa besarnya pengaruh perbelanjaan di jalan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Jikalau hanya dengan semata-mata tertinggal kesan  debu  di kaki pun boleh menyebabkan haramnya api neraka untuk menyentuh kita maka bagaimanakah pula dengan orang yang berusaha bersungguh dan memperjuangkan kesungguhannya ?

Hadith ini juga mempunyai syahid daripada hadith yang lain iaitulah hadith yang telah diriwayatkan oleh Al-Tabrani di dalam Al-Awsat daripada Abu Al-Darda’ secara  marfu’ :-

من اغبرت قدماه فى سبيل الله باعد الله منه النار مسيرة ألف عام للراكب  المستعجل  
Bermaksud :-

“ Barangsiapa yang terpalit kesan-kesan debu di kedua belah kakinya semata-mata di jalan Allah , ,maka Allah akan menjauhkan apai neraka daripadanya sejauh perjalanan seribu tahun bagi penunggang yang bersegera ( berjihad )”


PENGAJARAN HADITH


  1. Islam merupakan satu agama yang benar dan perlu disebarkan kepada semua manusia agar kebenaran yang terdapat di dalam Islam dapat disebarkan dan diluaskan ke seluruh alam.

  1. Islam telah menetapkan pelbagai pendekatan yang boleh digunakan di dalam usaha untuk menyebarkan agama Islam ke suluruh alam. Diantara pendekatan yang boleh digunakan ialah pendekatan melalui jihad di jalan Allah Subhanahu Wa Ta’ala . Akan tetapi jihad ini merupakan satu perkataan yang abstrak yang boleh ditafsirkan melalui pelbagai cabang  dan berjuang di dalam medan peperangan demi menegakkn agama Islam adalah satu daripada cabang-cabang jihad.

  1. Allah telah memberikan kelebihan bagi orang yang berjihad di jalan-Nya dengan diselamatkan daripada disentuh oleh api neraka yang amat pedih semasa diakhirat kelak.

  1. Berjihad di jalan Allah tidak semestinya dengan hanya melibatkan diri di dalam peperangan secara fizikal , akan tetapi menginfakkan harta dan tenaga juga termasuk di dalam cabang-cabang jihad yang sekaligus dikurniakan juga jaminan daripada Allah untuk tidak akan disentuh oleh api neraka.


  1. Debu yang pernah tertinggal di kaki seorang mukmin semasa di medan jihad akan menjadi saksi yang boleh menyelamatkan mukmin tersebut daripada mendapat sikasaan api neraka.

  1. Allah Subhanahu Wa Ta’ala amat menyukai akan hamba-hambanya yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan ajaran-Nya keseluruh alam sehinggakan Allah telah merakamkan kata-katan-Nya yang mulia di dalam Al-Quran :-

يا أيها الذين آمنوا إن تنصروا الله ينصركم ويثبت أقدامكم  [ محمد  7 ] 


 Bermaksud :-

 “ Wahai orang-orang yang beriman ! Sekiranya kamu semua membantu Allah , nescaya Allah akan membantu kamu dan menetapkan kaki-kaki kamu


[1] Ibn Al-Athir, Abi Al-Hasan ‘Ali bin Muhammad Al-Jazri , Asad Al-Ghabah Fi Ma’rifah Al-Sahabah, Cet. Pertama ( 1994), Juzu’ 3, m/s 428,  Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiah, Beirut .
[2] ibid.
[3] ibid.
[4]Al-‘Asqalani Al-Syafi’ie , Al-Hafiz Abi Al-Fadl  Ahmad bin ‘Ali bin Hajar Syihab Al-Din, Tahzib Al-Tahzib, Cet. Pertama ( 1996) , Juzu’ 4, m/s 551, Muassasah Al-Risalah , Beirut.
[5] Ibn Al-Athir, Abi Al-Hasan ‘Ali bin Muhammad Al-Jazri , Asad Al-Ghabah Fi Ma’rifah Al-Sahabah, Cet. Pertama ( 1994), Juzu’ 3, m/s 428,  Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiah, Beirut .
[6] Al-‘Asqalani Al-Syafi’ie , Al-Hafiz Abi Al-Fadl  Ahmad bin ‘Ali bin Hajar Syihab Al-Din, Tahzib Al-Tahzib, Cet. Pertama ( 1996) , Juzu’ 4, m/s 551, Muassasah Al-Risalah , Beirut.

[7] Al-Imam Al-Hafiz Ahmad Bin ‘Ali Bin Hajar Al-‘Asqalani, Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-Jihad Wa Siyar, Bab Siapa yang menjejakkan kedua kakinya di jalan Allah ,  juzu’ 6,  m/s 37, Cetakan Pertama ( 2000) , Dar Al-Salam, Riyadh.
[8] Ibid

No comments:

Post a Comment