SILA KLIK DI SINI

Saturday, August 30, 2014

Menghayati Kemerdekaan Dalam Erti Kata Sebenar

Menghayati Kemerdekaan Dalam Erti Kata Sebenar

Ditulis oleh Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin. Posted in Berita Harian
Tinggal dua hari lagi negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-56. Seperti kelaziman, apabila tibanya tanggal 31 Ogos pada setiap tahun, pelbagai acara diadakan bagi memperingati dan meraikan tarikh keramat Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah. 
Namun demikian, dalam meraikan sambutan berkenaan, sejauh manakah rata-rata kita sebagai rakyat Malaysia menghayati roh kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar? Adakah pengisian program sambutan kemerdekaan yang dilaksanakan sejak lebih lima dekad yang lampau benar-benar mampu menzahirkan sebuah kerangka masyarakat yang bukan sahaja negaranya merdeka, bahkan juga merdeka dari pelbagai aspek seperti ekonomi, politik, sosial dan paling utama merdeka dari segi sikap dan tinglahlaku?

Apabila menyentuh mengenai kemerdekaan dari sudut ekonomi, politik dan sosial, ia pastinya berbalik kepada persoalan tunjang yakni sikap dan tingkahlaku yang terlebih dahulu perlu dimerdekakan. Ini kerana, apalah ertinya kita berada dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat sekiranya sikap dan tingkahlaku kita masih lagi dibelenggu dan dijajah oleh sifat-sifat mazmumah yang pastinya sekali gus boleh merencatkan proses pembangunan sosial, ekonomi dan politik yang sewajarnya seiring dengan kerangka Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Seharusnya, setelah berdekad-dekad lamanya negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan, pemikiran dan tingkahlaku kita juga perlulah jauh lebih merdeka dan terkehadapan selari dengan tempoh merdekanya negara daripada cengkaman penjajah. Namun, malangnya didapati pemikiran, sikap dan tingkahlaku segelintir kita pada hari ini masih lagi belum mencapai kemerdekaan dalam erti kata sebenar yakni berpaksikan acuan sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam.

Buktinya, kita masih lagi terkepung dengan pelbagai masalah sosial seperti perzinaan, pembuangan bayi, penagihan dadah, peningkatan kadar jenayah dan sebagainya sehingga ia dilihat sedikit sebanyak mencalarkan imej negara sebagai sebuah negara merdeka yang sewajarnya juga bebas daripada permasalahan-permasalahan sosial seumpama ini.

Mengapakah situasi sedemikian berlaku? Adakah program-program yang dianjurkan semasa sambutan hari kemerdekaan selama ini gagal membentuk perilaku yang positif dalam diri setiap anggota masyarakat terutamanya golongan muda kita pada hari ini yang seharusnya menjadi pelapis yang berguna kepada agama, bangsa dan juga negara pada masa hadapan?

Jika benar ianya gagal, maka seharusnya transformasi perlu dilakukan agar program-program semasa sambutan hari kemerdekaan yang dianjurkan pada tahun ini dapat memberi manfaat yang maksimum kepada rata-rata kita khasnya dalam menghayati semangat kemerdekaan yang sebenar-benarnya dan tidak terpesong daripada landasan sebagaimana yang telah ditekankan dalam syariat Islam.

Justeru, bagaimana sambutan hari kemerdekaan perlu disambut sewajarnya diperhalusi kembali agar setiap pengisian sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini dan pada masa-masa yang akan datang lebih menepati roh Islam.  Jika selama ini, acara sambutan hari kemerdekaan banyak didominasikan oleh konsert-konsert yang melalaikan sehingga boleh mengundang kepada perlakuan-perlakuan yang tidak sihat dan sumbang, maka ia perlu digantikan dengan acara-acara yang lebih bermanfaat seperti program-program bercorak keagamaan dan kerohanian agar sifat-sifat mahmudah dapat diterap dan ditanamkan ke dalam diri setiap lapisan anggota masyarakat. 

Lebih malang lagi, jika sebaik sahaja tamatnya sesuatu acara sambutan hari kemerdekaan, ia diteruskan pula dengan sambutan secara individu atau berkumpulan terutamanya oleh segelintir muda-mudi yang ternyata masih mentah dalam memahami makna sebenar sebuah kemerdekaan dengan menganjurkan parti-parti liar yang boleh menjerumuskan mereka kepada kemaksiatan dan pelbagai pengaruh buruk yang lain. Ia pastinya tersasar daripada matlamat sebenar sambutan hari kemerdekaan yakni agar rata-rata rakyat Malaysia menghayati hari bersejarah tersebut dalam konteks pengertian yang sebenar.

Apatah lagi jika program-program yang dianjurkan juga turut menyumbang kepada berlakunya permasalahan lain seperti pencemaran akibat daripada pembuangan sampah sarap seperti pembungkus atau pembalut makanan, tin-tin dan kotak minuman di merata-rata tempat semasa sesuatu konsert sedang berlangsung. Ia sudah tentu akan mencacatkan pemandangan setelah selesainya acara berkenaan dan kos yang besar perlu diperuntukkan  bagi mengupah pihak-pihak tertentu untuk membersihkan semula kawasan-kawasan yang terlibat. Tidakkah ia sedikit sebanyak merugikan negara apabila terpaksa mengeluarkan kos semata-mata untuk tujuan tersebut yang sepatutnya boleh diuruskan tanpa sebarang kos jika rata-rata rakyatnya mempunyai sikap dan jiwa merdeka dalam erti kata yang sebenar. 

Mungkin ia akan berlaku sebaliknya jika acara sambutan hari kemerdekaan diisi dengan program-program berbentuk ilmiah dan kerohanian. Umpamanya pelbagai masalah sosial dan pencemaran akan lebih terkawal dan dapat diminimumkan. Ini kerana, ironinya program-program seumpama itu sendiri secara tidak langsung dapat menghindarkan daripada sebarang bentuk kelalaian serta mampu mendidik sikap dan tingkahlaku setiap anggota masyarakat untuk lebih beretika dalam setiap tindak-tanduk sepanjang program berlangsung.

Selain itu, kita juga dapat difahamkan dengan konsep kemerdekaan yang sebenar dan tidak hanya terhad kepada perkara-perkara tertentu sahaja. Sebaliknya ia turut dapat diperluas dan diaplikasikan dalam pelbagai aspek lain dan tidak terkecuali juga dari segi tingkahlaku terhadap alam sekitar. Apabila tingkahlaku yang baik terhadap alam sekitar dapat dibentuk, maka pastilah alam sekitar juga akan selamat dan merdeka daripada sebarang bentuk ancaman kemusnahan. Justeru, sudah tiba masanya setiap pihak melakukan transformasi dalam pemilihan acara sempena sambutan hari kemerdekaan agar erti kemerdekaan dapat difahami dengan sebaik-baiknya bukan sahaja oleh generasi lama tetapi juga oleh generasi baru.

Mudah-mudahan dengan transformasi yang dilakukan kelak, ia diharap dapat merobah persepsi salah terutamanya dalam kalangan muda-mudi kita berhubung pengertian sebenar kemerdekaan. Mereka seharusnya dicelikkan bahawa kemerdekaan bukan sahaja tertumpu kepada kebebasan negara daripada cengkaman penjajah semata-mata. Sebaliknya, kemerdekaan dari sudut pemikiran, sikap dan tingkahlaku mereka daripada sebarang bentuk sifat-sifat yang boleh menghakis nilai-nilai murni dan jati diri sebagai seorang Muslim yang perlu diberi perhatian dan keutamaan.

Dipetik daripada : http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/berita-harian/8749-menghayati-kemerdekaan-dalam-erti-kata-sebenar

Sunday, February 2, 2014

Hadith Nabi s.a.w. tentang bacaan surah al-Tin di dalam solat Isya'


) حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ عَدِيٍّ قَالَ سَمِعْتُ الْبَرَاءَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي سَفَرٍ فَقَرَأَ فِي الْعِشَاءِ فِي إِحْدَى الرَّكْعَتَيْنِ بِالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ [1]

Maksudnya:

Telah berkata kepada kami Abu Al-Walid telah berkata : telah berkata kepada  kami Syu’bah daripada ‘Adiy telah berkata : Aku telah mendengar Al-Bara’ (( Sesungguhnya Nabi s.a.w. ketika Baginda  berada didalam suatu musafir ( perjalanan), maka Baginda membaca di dalam solat ‘Isya’ didalam salah satu daripada dua rakaat dengan (surah) Al-Tin dan Al-Zaitun )).

PERAWAI SAHABAT[2]

Di dalam hadith ini perawi sahabat yang meriwatkannya dalah Al-Bara’ .

Nama beliau adalah Al-Bara’ bin ‘Azib bin Al-Harith bin ‘Adi bin Majda’ah bin Harithah Al-Ausi Abu ‘Umarah. Dikatakan juga beliau adalah  Abu ‘Amru , Abu Al-Thufail  Al-Madani , seorang sahabat dan anak kepada seorang sahabat.Beliau pernah pergi ke Kufah dan meninggal di sana pada zaman Mus’ib bin Al-Zubair .

            Beliau meninggal pada tahun 72 hijrah  dan disebutkan oleh Ibn Qoni’ didalam Mu’jam Al-Sahabah bahawa sesungguhnya beliau telah pergi berperang  bersama RasululLah S.A..W sebanyak 15 peperangan .Dan berkata Ibnu ‘Abd Al-Birr  : Dialah yang telah membuka Al-Rayy, dan dikatakan juga bahawa dialah yang telah diutuskan oleh RasululLah s.a.w. dan bersamanya anak panah ke  Hudaibiyyah dan dia menjadi tentera di Al-Rayy. Dan yang masyhur  tentang peristiwa tersebut  adalah  Najiah bin Jundub. Dan dia berkata (Ibnu ‘Abd Al-Birr) bahawa penyertaan pertamanya adalah peperangan Uhud, Dan berkata ‘Askariyy bahawa penyertaan pertamanya adalah peperangan Khandak . Dia juga menyertai bersam ‘Ali  di dalam peperangan Jamal  , Siffin, Al-Nahrowan dan dia juga diberi gelaran sebagai “ Za Al-Ghurrah “ , begitulah sebagaimana yang dikatakan tentangnya. Dan pada pendapatku (Ibnu Hajar Al’’Asqolani) bahawa yang  dikatakan sebagai Za Al-Ghurrah tersebut adalah orang lain.

PERIWAYATANNYA :

            Beliau meriwayatkan hadith daripada RasululLah s.a.w. , Abu Bakr , ‘Umar ,’Ali , Abi Ayyub , Bilal dan selain mereka.

            Diriwayatkan pula daripadanya ‘Abd Allah bin Zaid Al-Khotomi, Abu Juhaifah , ‘Ubaid , Al-Rabi’, Yazid dan ramai lagi selain mereka.

PENJELASAN HADITH

Di dalam hadith ini menjelaskan bahawa RasululLah s.a.w. membaca di dalam solat ‘isya’ dengan surah  التِّينِ وَالزَّيْتُونِ  didalam salah satu daripada dua raka’at yang pertama.Imam Al-Nasai mengatakan bahawa ianya adalah di dalam raka’at yang pertama.

Di sini , kita juga dapat melihat bahawa sesungguhnya  RasululLah s.a.w. sendiri membaca di dalam solat ‘isya’ dengan kuat dan jelas sehinggakan sahabat yang mengikuti Baginda ataupun menjadi ma’mum di belakang Baginda dapat mendengar dengan jelas bahawa RasululLah s.a.w. membaca surah tersebut ketika Baginda di musafir.

Imam Malik mengatakan bahawa RasululLah s.a.w. membaca surah Al-Haaqqah dan yang seumpamanya dan banyak lagi pandangan yang mengatakan tentang perihal ini.


PENGAJARAN HADITH

  1. Di dalam hadith ini menjelaskan kepada kita tentang perlunya ataupun dibolehkan membaca di dalam solat dengan surah yang pendek disebabkan adanya masyaqqah iaitu musafir.

  1. Berkata Al-Safaqosi : “ Sesungguhnya hadith ini menunjukkan bahawa  tidak ada masa tertentu yang dihadkan untuk membaca surah bahkan ianya adalah berdasarkan keadaan”.

  1. RasululLah s.a.w. membaca di dalam solat ‘isya’ dengan surah Al-Zaitun .




[1]Sahih Muslim, Kitab Al-Solat, no706,707,708.
Sunan Al-Tirmizi, Al-Solat,no.285.
Sunan Al-Nasai, Al-Iftitah, no.990,991.
Sunan Abu Daud, Al-Solat, no.1032.
Sunan Ibnu Majah, Iqomat Al-Solat Wa Al-Sunnah Fiha, no.826.
Muwatta' Malik, Al-Nida' Li-Al-Solat, no.161.

[2] Tah zib Al-Tahzib , Ibn Hajar AL-Asqolani, juzu’ 2, m/s  269