SURAH AL-BAQARAH : AYAT 30
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ(30)
Maknanya :-
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Surah al-Baqarah ( 2 ) : 30
MAKSUD KALIMAH[1]
1.
“خَلِيفَة “ adalah daripada jenis yang lain ataupun pengganti Allah . Ta’ala yang melaksanakan perintah-perintah Allah di . kalangan manusia.
2.
“ السَّفْكُ “ Menumpahkan darah
3.
“ التَّسْبِيْحُ“ Mencucikan Allah daripada setiap sesuatu yang tidak layak . . .. bagi diriNya
4.
“ التَّقْدِيْسُ “ Menetapkan ataupun memperkukuhkan Allah dengan setiap . . sesuatu yang layak denganNya yang terdiri daripada sifat- . sifat kesempurnaan . Ataupun penyucian[2].
TAFSIRAN AYAT
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً1.
Maknanya :-
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".
Allah Ta’ala memuliakan Bani Adam dengan menyebutkan tentangnya di kalangan makhluk yang mulia (para Malaikat) sebelum Bani Adam dijadikan[3]. Akan tetapi, urusan yang berkaitan dengan kejadian dan penciptaan tentang ke”bagaimana”an Nabi Adam a.s di jadikan adalah hanya di dalam ilmu dan urusan Allah Ta’ala dan semestinya kita tawaqquf sahaja[4].
“وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ “
Ü Lafaz “ إذ “ . Lafaz ini menurut imam al-Baghawi merupakan lafaz tambahan sahaja yang tidak membawa sebarang maksud. Dan lafaz “ إذ” dan “ إذا “ merupakan huruf yang merujuk kepada batasan masa. Lafaz “ إذ” adalah untuk fi’il madhi (فعل الماضى) manakala lafaz “ إذا “ pula adalah untuk fi’il mudhari’ ( فعل المضارع ). Kadang kala kedua-dua lafaz ini akan berubah kedudukannya iaitulah “ إذ” akan masuk kepada fi’il mudhari’ ( فعل المضارع ) manakala “ إذا “ pula akan masuk kepada (فعل الماضى). Akan tetapi, maksud yang akan terhasil daripadanya tetap sama iaitulah “ إذ” yang masuk kepada fi’il mudhari’ ( فعل المضارع ) akan membawa maksud untuk masa lalu manakala “ إذا “ yang masuk kepada (فعل الماضى) pula akan membawa maksud untuk masa akan datang[5]. Imam al- Suyuti pula meriwayatkan daripada Ibn Abi Hatim bahawa mana-mana lafaz “إذ “ yang terdapat di dalam al-Quran membawa maksud “ كان “[6]. Lafaz “الملائكة “ pula adalah lafaz jama’ daripada lafaz “ ملك“.[7]
Ü Maknanya ialah “ Katakanlah wahai Muhammad ! Ketika Tuhanmu berkata kepada Malaikat dan ceritakanlah hal yang demikian itu kepada kaummu[8] iaitu “ Sesungguhnya Aku (Allah) akan menjadikan Adam a.s. sebagai khalifah yang berlainan dengan makhluk lain yang telah ada di muka bumi yang telah banyak melakukan kerosakan dan tumpahan darah dan Adam a.s. ini akan menggantikan tempat makhluk tersebut”[9].
“ِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً “
Ü Yang dimaksudkan dengan “خَلِيفَة “ di sini ialah sebahagian daripada sesuatu kaum itu menggantikan sebahagian yang lain iaitu dari satu kurun ke satu kurun dan dari satu generasi ke satu generasi[10] sebagaimana firman Allah
“وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ “[11].Ibn Kathir juga membawakan bacaan al-Quran yang syaz (pelik) iaitu yang diambil daripada Zamakhsyari dan juga orang lain iaitu “إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيقَةً “.
Ü Ibn Kathir memetik kata-kata al-Qurtubi yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan khalifah di sini ialah Nabi Adam a.s. sahaja dan inilah pandangan yang telah banyak diperkatakan oleh sebahagian ‘ulama’ tafsir[12] iaitu bagi menggantikan kaum jin[13]. Pengarang al-Manar pula mengatakan bahawa khalifah di sini membawa maksud Nabi Adam a.s. serta anak cucu Baginda a.s.[14] Kebenarannya ialah sesungguhnya Nabi Adam a.s adalah pengganti Allah Ta’ala di muka bumi untuk mendirikan semua hukum-hukum Allah dan melaksanakan perintah-perintahNya[15] dan inilah pandangan yang telah dikemukakan oleh ramai ‘ulama’ tafsir[16].
Ü Imam al-Suyuti mengambil riwayat daripada al-Hakim iaitu daripada Ibn ‘Abbas r.a. : “Ketika Allah mengeluarkan Adam a.s. daripada syurga iaitu sebelum Adam a.s. masuk ke dalam Syurga, Allah telah berfirman : “ِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ “. Peristiwa ini berlaku sebelum Adam a.s. dicipta iaitu dalam jangka masa 2000 tahun selepas Allah jadikan jin daripada kalangan Bani Jin. Golongan jin ini telah banyak melakukan kerosakan di atas muka bumi dan telah banyak menumpahkan darah sehinggalah Allah mengutuskan bala tentera daripada kalangan Malaikat untuk memukul mereka dan mencampakkan mereka ke kepulauan-kepulauan laut. Tatkala Allah berfirman bahawa Allah akan menjadikan khalifah di atas muka bumi, para Malaikat pun berkata “ Adakah Engkau (Allah) hendak menjadikan orang yang akan melakukan kerosakan dan pembunuhan sebagaimana yang telah dilakukan oleh golongan jin tersebut ?”. Kemudian Allah pun berfirman bahawa Allah itu Maha mengetahui tentang sesuatu yang para Malaikat tidak ketahui ”[17].
Ü Muhammad Rasyid Rida pula mengatakan bahawa lafaz “خَلِيفَة “ sebagaimana yang telah diperkatakan oleh ‘ulama’ tafsir terbahagi kepada dua pandangan[18] iaitu :-
o Menggantikan satu kelompok ataupun lebih yang terdiri daripada haiwan natik yang telah berada di muka bumi yang telah banyak melakukan kerosakan dan pembunuhan
o Menggantikan Allah Ta’ala.
Ü Kejadian dan penciptaan manusia dengan pelbagai kelebihan yang telah dianugerahkan oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi adalah bukti yang jelas terhadap keajaiban penciptaan Allah Ta’ala yang mengandungi rahsia-rahsia penciptaan[19].
2. وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ
Maknanya :-
Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?".
Ü Seolah-olah para Malaikat dapat mengetahui tentang hal yang demikian itu dengan ilmu yang khas ataupun melalui pengetahuannya tentang tabiat semula jadi manusia[20] iaitu membuat kerosakan dengan kemaksiatan dan berbunuh-bunuhan tanpa hak[21]. Akan tetapi, kata-kata para Malaikat itu bukanlah untuk menentang Allah Ta’ala, bukan juga disebabkan sifat hasad Malaikat sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian mufassirin. Ini kerana, Allah sendiri telah berfirman bahawa para Malaikat itu tidak akan berkata dan tidak akan bertanya melainkan setelah mendapat keizinan daripada Allah Ta’ala[22].
Ü Maksud yang sebenarnya ialah, sebenarnya para Malaikat itu hendak meminta penjelasan daripada Allah Ta’ala lalu Malaikat pun berkata “ Wahai Tuhan kami ! Apakah hikmah disebalik kejadian mereka itu kerana akan ada dikalangan mereka itu yang akan merosakkan bumi serta menumpahkan darah?, Jikalau mereka itu beribadah kepadaMu, maka kami senantiasa bertasbih dan mensucikanMu”[23].
Ü Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa kata-kata Malaikat itu adalah untuk meminta kepada Allah Ta’ala agar Allah menggantikan Bani Adam itu dengan mereka di bumi, lalu Allah pun berfirman bahawa sesungguhnya Allah Ta’ala lebih mengetahui tentang segala-galanya dan kehidupan para Malaikat di langit itu adalah lebih baik dan lebih layak bagi mereka berbanding tinggal di bumi[24].
Ü Ayat “ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ “ ini pula sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh al-Baghawi yang diambil daripada kata-kata al-Hasan ialah selawat yang diucapkan oleh semua makhluk dan binatang-binatang dan disebabkan selawat inilah mereka semua diberikan rezeki. Al-Baghawi juga ada mengambil satu hadith RasuluLlah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Dhar r.a[25]. :-
عن رسول الله صلى الله عليه وسلم : سئل أى الكلام أفضل ؟
قال : " ما اصطفاه الله لملائكته أو لعباده سبحان الله وبحمده "
Maknanya :-
Daripada RasuluLlah s.a.w. : ditanya tentang apakah kata-kata yang terbaik ? RasuluLlah s.a.w. pun bersabda : “ Iaitulah kata-kata yang telah disucikan oleh Allah kepada para MalaikatNya dan juga hamba-hambaNya “سبحان الله وبحمده “.
Ü .“وَنُقَدِّسُ لَك “ pula membawa maksud bahawa para Malaikat memuji dan mensucikan Allah Ta’ala daripada sesuatu yang tidal layak dengan keagungan dan ketinggian Allah Ta’ala[26].
3. “قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ “
Maknanya :-
Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Iaitu Allah mengatakan bahawa Allah itu lebih mengetahui tentang kemaslahatan[27] yang tersembunyi[28] di dalam penciptaan manusia berbanding kerosakan dan keburukan yang telah disebutkan oleh para Malaikat. Allah berkata bahawa Allah akan menjadikan daripada kalangan manusia itu para nabi, para rasul, para siddiqin, para syuhada’, orang-orang yang soleh serta hamba-hamba yang senantiasa tunduk dan patuh terhadap perintah Allah disamping cinta dan kasih terhadap Nya[29].
Dikatakan juga bahawa Allah telah berkata kepada para Malaikat bahawa Allah lebih mengetahui tentang kewujudan iblis dan iblis itu bukanlah sebagaimana yang telah disifatkan oleh para Malaikat[30]. Dikatakan juga bahawa sesungguhnya Allah lebih mengetahui bahawa ada dikalangan para Malaikat itu yang membuat maksiat kepada Allah iaitu iblis dan ada juga di kalangan manusia itu yang membuat maksiat akan tetapi Allah mengampunkan mereka[31].
[2] Al-Suyuti, ‘Abd al-Rahman bin al-Kamal Jalal al-Din (1983), Tafsir al-Durr al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur, Cetakan Pertama, Juzu’ Pertama, Beirut : Dar al-Fikr,, hlm. 114. Imam al-Suyuti banyak membawakan riwayat-riwayat daripada para sahabat RasuluLlah s.a.w. seperti Ibn ‘Abbas r.a. dan juga pandangan-pandangan yang dibawakan oleh anak murid Ibn ‘Abbas seperti Mujahid, Sa’id bin Jubir dan sebagainya.
[3] Ibn Kathir, Abi al-Fida’Isma’il bin Kathir (2000), Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Cetakan Pertama, Jilid Pertama, Beirut : Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, hlm. 87
[4] Muhammad Rasyid Rida (1993), Tafsir al-Qur’an al-Hakim al-Syahir bi Tafsir al-Manar, Juzu’ Pertama, Beirut : Dar al-Ma’rifah, hlm. 251. Muhammad Rasyid Rida mengatakan bahawa ustaz beliau (Muhammad ‘Abduh) mengatakan bahawa ayat berkenaan penciptaan khalifah ini adalah merupakan ayat mutasyabihat yang tidak boleh ditafsirkan hanya dengan melihat kepada zahir ayat kerana ditakuti ianya akan membawa kepada pentafsiran yang tidak sesuai dan tidak layak dengan Allah Ta’ala dan para Malaikat. Beliau juga mengatakan bahawa ijma’ ‘ulama’ Islam bersepakat bahawa Allah adalah tersuci daripada semua makhluk dan semua yang bercanggah dengan nas-nas yang memperkatakan tentang kesucian Allah ini akan tertolak.
[5] Al-Baghawi, Abi Muhammad al-Husayn bin Mas’ud al-Farra’ al-Syafi’I (t.t.), Tafsir Al-Baghawi al-Musamma Ma’alim al-Tanzil, Juzu’ Pertama, Beirut : Dar al-Ma’rifah, hlm. 60
[17] Al-Suyuti, op.cit., hlm. 111. Imam Suyuti juga banyak membawakan riwayat-riwayat daripada para sahabat RasuluLlah s.a.w. yang menceritakan tentang perangai buruk jin yang banyak melakukan kerosakan dan pembunuhan di atas muka bumi. Imam Suyuti juga membawakan riwayat-riwayat yang menceritakan tentang asal-usul penciptaan dan kejadian Nabi Adam a.s. serta sifat-sifat fizikalnya samada ketinggiannya dan sebagainya.
[21] Al-Baghawi, (t.t.), op.cit., hlm. 60 lihat juga Ahmad Mustafa al-Maraghi (1984), op.cit., hlm. 81