SILA KLIK DI SINI

Saturday, August 30, 2014

Menghayati Kemerdekaan Dalam Erti Kata Sebenar

Menghayati Kemerdekaan Dalam Erti Kata Sebenar

Ditulis oleh Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin. Posted in Berita Harian
Tinggal dua hari lagi negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-56. Seperti kelaziman, apabila tibanya tanggal 31 Ogos pada setiap tahun, pelbagai acara diadakan bagi memperingati dan meraikan tarikh keramat Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah. 
Namun demikian, dalam meraikan sambutan berkenaan, sejauh manakah rata-rata kita sebagai rakyat Malaysia menghayati roh kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar? Adakah pengisian program sambutan kemerdekaan yang dilaksanakan sejak lebih lima dekad yang lampau benar-benar mampu menzahirkan sebuah kerangka masyarakat yang bukan sahaja negaranya merdeka, bahkan juga merdeka dari pelbagai aspek seperti ekonomi, politik, sosial dan paling utama merdeka dari segi sikap dan tinglahlaku?

Apabila menyentuh mengenai kemerdekaan dari sudut ekonomi, politik dan sosial, ia pastinya berbalik kepada persoalan tunjang yakni sikap dan tingkahlaku yang terlebih dahulu perlu dimerdekakan. Ini kerana, apalah ertinya kita berada dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat sekiranya sikap dan tingkahlaku kita masih lagi dibelenggu dan dijajah oleh sifat-sifat mazmumah yang pastinya sekali gus boleh merencatkan proses pembangunan sosial, ekonomi dan politik yang sewajarnya seiring dengan kerangka Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Seharusnya, setelah berdekad-dekad lamanya negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan, pemikiran dan tingkahlaku kita juga perlulah jauh lebih merdeka dan terkehadapan selari dengan tempoh merdekanya negara daripada cengkaman penjajah. Namun, malangnya didapati pemikiran, sikap dan tingkahlaku segelintir kita pada hari ini masih lagi belum mencapai kemerdekaan dalam erti kata sebenar yakni berpaksikan acuan sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam.

Buktinya, kita masih lagi terkepung dengan pelbagai masalah sosial seperti perzinaan, pembuangan bayi, penagihan dadah, peningkatan kadar jenayah dan sebagainya sehingga ia dilihat sedikit sebanyak mencalarkan imej negara sebagai sebuah negara merdeka yang sewajarnya juga bebas daripada permasalahan-permasalahan sosial seumpama ini.

Mengapakah situasi sedemikian berlaku? Adakah program-program yang dianjurkan semasa sambutan hari kemerdekaan selama ini gagal membentuk perilaku yang positif dalam diri setiap anggota masyarakat terutamanya golongan muda kita pada hari ini yang seharusnya menjadi pelapis yang berguna kepada agama, bangsa dan juga negara pada masa hadapan?

Jika benar ianya gagal, maka seharusnya transformasi perlu dilakukan agar program-program semasa sambutan hari kemerdekaan yang dianjurkan pada tahun ini dapat memberi manfaat yang maksimum kepada rata-rata kita khasnya dalam menghayati semangat kemerdekaan yang sebenar-benarnya dan tidak terpesong daripada landasan sebagaimana yang telah ditekankan dalam syariat Islam.

Justeru, bagaimana sambutan hari kemerdekaan perlu disambut sewajarnya diperhalusi kembali agar setiap pengisian sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini dan pada masa-masa yang akan datang lebih menepati roh Islam.  Jika selama ini, acara sambutan hari kemerdekaan banyak didominasikan oleh konsert-konsert yang melalaikan sehingga boleh mengundang kepada perlakuan-perlakuan yang tidak sihat dan sumbang, maka ia perlu digantikan dengan acara-acara yang lebih bermanfaat seperti program-program bercorak keagamaan dan kerohanian agar sifat-sifat mahmudah dapat diterap dan ditanamkan ke dalam diri setiap lapisan anggota masyarakat. 

Lebih malang lagi, jika sebaik sahaja tamatnya sesuatu acara sambutan hari kemerdekaan, ia diteruskan pula dengan sambutan secara individu atau berkumpulan terutamanya oleh segelintir muda-mudi yang ternyata masih mentah dalam memahami makna sebenar sebuah kemerdekaan dengan menganjurkan parti-parti liar yang boleh menjerumuskan mereka kepada kemaksiatan dan pelbagai pengaruh buruk yang lain. Ia pastinya tersasar daripada matlamat sebenar sambutan hari kemerdekaan yakni agar rata-rata rakyat Malaysia menghayati hari bersejarah tersebut dalam konteks pengertian yang sebenar.

Apatah lagi jika program-program yang dianjurkan juga turut menyumbang kepada berlakunya permasalahan lain seperti pencemaran akibat daripada pembuangan sampah sarap seperti pembungkus atau pembalut makanan, tin-tin dan kotak minuman di merata-rata tempat semasa sesuatu konsert sedang berlangsung. Ia sudah tentu akan mencacatkan pemandangan setelah selesainya acara berkenaan dan kos yang besar perlu diperuntukkan  bagi mengupah pihak-pihak tertentu untuk membersihkan semula kawasan-kawasan yang terlibat. Tidakkah ia sedikit sebanyak merugikan negara apabila terpaksa mengeluarkan kos semata-mata untuk tujuan tersebut yang sepatutnya boleh diuruskan tanpa sebarang kos jika rata-rata rakyatnya mempunyai sikap dan jiwa merdeka dalam erti kata yang sebenar. 

Mungkin ia akan berlaku sebaliknya jika acara sambutan hari kemerdekaan diisi dengan program-program berbentuk ilmiah dan kerohanian. Umpamanya pelbagai masalah sosial dan pencemaran akan lebih terkawal dan dapat diminimumkan. Ini kerana, ironinya program-program seumpama itu sendiri secara tidak langsung dapat menghindarkan daripada sebarang bentuk kelalaian serta mampu mendidik sikap dan tingkahlaku setiap anggota masyarakat untuk lebih beretika dalam setiap tindak-tanduk sepanjang program berlangsung.

Selain itu, kita juga dapat difahamkan dengan konsep kemerdekaan yang sebenar dan tidak hanya terhad kepada perkara-perkara tertentu sahaja. Sebaliknya ia turut dapat diperluas dan diaplikasikan dalam pelbagai aspek lain dan tidak terkecuali juga dari segi tingkahlaku terhadap alam sekitar. Apabila tingkahlaku yang baik terhadap alam sekitar dapat dibentuk, maka pastilah alam sekitar juga akan selamat dan merdeka daripada sebarang bentuk ancaman kemusnahan. Justeru, sudah tiba masanya setiap pihak melakukan transformasi dalam pemilihan acara sempena sambutan hari kemerdekaan agar erti kemerdekaan dapat difahami dengan sebaik-baiknya bukan sahaja oleh generasi lama tetapi juga oleh generasi baru.

Mudah-mudahan dengan transformasi yang dilakukan kelak, ia diharap dapat merobah persepsi salah terutamanya dalam kalangan muda-mudi kita berhubung pengertian sebenar kemerdekaan. Mereka seharusnya dicelikkan bahawa kemerdekaan bukan sahaja tertumpu kepada kebebasan negara daripada cengkaman penjajah semata-mata. Sebaliknya, kemerdekaan dari sudut pemikiran, sikap dan tingkahlaku mereka daripada sebarang bentuk sifat-sifat yang boleh menghakis nilai-nilai murni dan jati diri sebagai seorang Muslim yang perlu diberi perhatian dan keutamaan.

Dipetik daripada : http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/berita-harian/8749-menghayati-kemerdekaan-dalam-erti-kata-sebenar

Sunday, February 2, 2014

Hadith Nabi s.a.w. tentang bacaan surah al-Tin di dalam solat Isya'


) حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ عَدِيٍّ قَالَ سَمِعْتُ الْبَرَاءَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي سَفَرٍ فَقَرَأَ فِي الْعِشَاءِ فِي إِحْدَى الرَّكْعَتَيْنِ بِالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ [1]

Maksudnya:

Telah berkata kepada kami Abu Al-Walid telah berkata : telah berkata kepada  kami Syu’bah daripada ‘Adiy telah berkata : Aku telah mendengar Al-Bara’ (( Sesungguhnya Nabi s.a.w. ketika Baginda  berada didalam suatu musafir ( perjalanan), maka Baginda membaca di dalam solat ‘Isya’ didalam salah satu daripada dua rakaat dengan (surah) Al-Tin dan Al-Zaitun )).

PERAWAI SAHABAT[2]

Di dalam hadith ini perawi sahabat yang meriwatkannya dalah Al-Bara’ .

Nama beliau adalah Al-Bara’ bin ‘Azib bin Al-Harith bin ‘Adi bin Majda’ah bin Harithah Al-Ausi Abu ‘Umarah. Dikatakan juga beliau adalah  Abu ‘Amru , Abu Al-Thufail  Al-Madani , seorang sahabat dan anak kepada seorang sahabat.Beliau pernah pergi ke Kufah dan meninggal di sana pada zaman Mus’ib bin Al-Zubair .

            Beliau meninggal pada tahun 72 hijrah  dan disebutkan oleh Ibn Qoni’ didalam Mu’jam Al-Sahabah bahawa sesungguhnya beliau telah pergi berperang  bersama RasululLah S.A..W sebanyak 15 peperangan .Dan berkata Ibnu ‘Abd Al-Birr  : Dialah yang telah membuka Al-Rayy, dan dikatakan juga bahawa dialah yang telah diutuskan oleh RasululLah s.a.w. dan bersamanya anak panah ke  Hudaibiyyah dan dia menjadi tentera di Al-Rayy. Dan yang masyhur  tentang peristiwa tersebut  adalah  Najiah bin Jundub. Dan dia berkata (Ibnu ‘Abd Al-Birr) bahawa penyertaan pertamanya adalah peperangan Uhud, Dan berkata ‘Askariyy bahawa penyertaan pertamanya adalah peperangan Khandak . Dia juga menyertai bersam ‘Ali  di dalam peperangan Jamal  , Siffin, Al-Nahrowan dan dia juga diberi gelaran sebagai “ Za Al-Ghurrah “ , begitulah sebagaimana yang dikatakan tentangnya. Dan pada pendapatku (Ibnu Hajar Al’’Asqolani) bahawa yang  dikatakan sebagai Za Al-Ghurrah tersebut adalah orang lain.

PERIWAYATANNYA :

            Beliau meriwayatkan hadith daripada RasululLah s.a.w. , Abu Bakr , ‘Umar ,’Ali , Abi Ayyub , Bilal dan selain mereka.

            Diriwayatkan pula daripadanya ‘Abd Allah bin Zaid Al-Khotomi, Abu Juhaifah , ‘Ubaid , Al-Rabi’, Yazid dan ramai lagi selain mereka.

PENJELASAN HADITH

Di dalam hadith ini menjelaskan bahawa RasululLah s.a.w. membaca di dalam solat ‘isya’ dengan surah  التِّينِ وَالزَّيْتُونِ  didalam salah satu daripada dua raka’at yang pertama.Imam Al-Nasai mengatakan bahawa ianya adalah di dalam raka’at yang pertama.

Di sini , kita juga dapat melihat bahawa sesungguhnya  RasululLah s.a.w. sendiri membaca di dalam solat ‘isya’ dengan kuat dan jelas sehinggakan sahabat yang mengikuti Baginda ataupun menjadi ma’mum di belakang Baginda dapat mendengar dengan jelas bahawa RasululLah s.a.w. membaca surah tersebut ketika Baginda di musafir.

Imam Malik mengatakan bahawa RasululLah s.a.w. membaca surah Al-Haaqqah dan yang seumpamanya dan banyak lagi pandangan yang mengatakan tentang perihal ini.


PENGAJARAN HADITH

  1. Di dalam hadith ini menjelaskan kepada kita tentang perlunya ataupun dibolehkan membaca di dalam solat dengan surah yang pendek disebabkan adanya masyaqqah iaitu musafir.

  1. Berkata Al-Safaqosi : “ Sesungguhnya hadith ini menunjukkan bahawa  tidak ada masa tertentu yang dihadkan untuk membaca surah bahkan ianya adalah berdasarkan keadaan”.

  1. RasululLah s.a.w. membaca di dalam solat ‘isya’ dengan surah Al-Zaitun .




[1]Sahih Muslim, Kitab Al-Solat, no706,707,708.
Sunan Al-Tirmizi, Al-Solat,no.285.
Sunan Al-Nasai, Al-Iftitah, no.990,991.
Sunan Abu Daud, Al-Solat, no.1032.
Sunan Ibnu Majah, Iqomat Al-Solat Wa Al-Sunnah Fiha, no.826.
Muwatta' Malik, Al-Nida' Li-Al-Solat, no.161.

[2] Tah zib Al-Tahzib , Ibn Hajar AL-Asqolani, juzu’ 2, m/s  269

Wednesday, December 25, 2013

TAFSIR SURAH AL-BAQARAH AYAT 30


SURAH AL-BAQARAH  :   AYAT 30


وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ(30)

Maknanya :-


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".


Surah al-Baqarah ( 2  )  :  30


MAKSUD KALIMAH[1]

1.      خَلِيفَة “                   adalah daripada jenis yang lain ataupun pengganti Allah           .                               Ta’ala yang melaksanakan perintah-perintah Allah di                            .                                kalangan manusia.

2.      “  السَّفْكُ “              Menumpahkan darah         

3.      “  التَّسْبِيْحُ“               Mencucikan Allah daripada setiap sesuatu yang tidak layak . . ..                               bagi diriNya

4.      التَّقْدِيْسُ “              Menetapkan ataupun memperkukuhkan Allah dengan setiap . .                               sesuatu yang layak denganNya yang terdiri daripada sifat-                               .                               sifat kesempurnaan . Ataupun penyucian[2].        

TAFSIRAN AYAT


وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً1.     

Maknanya :-

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".


Allah Ta’ala memuliakan Bani Adam dengan menyebutkan tentangnya di kalangan makhluk yang mulia (para Malaikat) sebelum Bani Adam dijadikan[3]. Akan tetapi, urusan yang berkaitan dengan kejadian dan penciptaan tentang ke”bagaimana”an Nabi Adam a.s di jadikan adalah hanya di dalam ilmu dan urusan Allah Ta’ala dan semestinya kita tawaqquf sahaja[4].



وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ 

Ü  Lafaz “ إذ “ . Lafaz ini menurut imam al-Baghawi merupakan lafaz tambahan sahaja yang tidak membawa sebarang maksud. Dan lafaz “  إذdan “ إذا “ merupakan huruf yang merujuk kepada batasan masa. Lafaz “  إذadalah untuk fi’il madhi (فعل الماضى) manakala lafaz “ إذا “ pula adalah untuk fi’il mudhari’ ( فعل المضارع ). Kadang kala kedua-dua lafaz ini akan berubah kedudukannya iaitulah “  إذ” akan masuk kepada fi’il mudhari’ ( فعل المضارع ) manakala “ إذا “ pula akan masuk kepada (فعل الماضى). Akan tetapi, maksud yang akan terhasil daripadanya tetap sama iaitulah “  إذ” yang masuk kepada fi’il mudhari’ ( فعل المضارع ) akan membawa maksud untuk masa lalu manakala “ إذاyang masuk kepada (فعل الماضى) pula akan membawa maksud untuk masa akan datang[5]. Imam al- Suyuti pula meriwayatkan daripada Ibn Abi Hatim bahawa mana-mana lafaz “إذ “ yang terdapat di dalam al-Quran membawa maksud “ كان[6]. Lafaz “الملائكة “ pula adalah lafaz jama’ daripada lafaz “ ملك“.[7]

Ü Maknanya ialah “ Katakanlah wahai Muhammad ! Ketika Tuhanmu berkata kepada Malaikat dan ceritakanlah hal yang demikian itu kepada kaummu[8]  iaitu “ Sesungguhnya Aku (Allah) akan menjadikan Adam a.s. sebagai khalifah yang berlainan dengan makhluk lain yang telah ada di muka bumi yang telah banyak melakukan kerosakan dan tumpahan darah dan Adam a.s. ini akan menggantikan tempat makhluk tersebut”[9].


ِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Ü  Yang dimaksudkan dengan “خَلِيفَة “ di sini ialah sebahagian daripada sesuatu kaum itu menggantikan sebahagian yang lain iaitu dari satu kurun ke satu kurun dan dari satu generasi ke satu generasi[10] sebagaimana firman Allah
وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ[11].Ibn Kathir juga membawakan bacaan al-Quran yang syaz (pelik) iaitu yang diambil daripada Zamakhsyari dan juga orang lain iaitu “إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيقَةً “.

Ü  Ibn Kathir memetik kata-kata al-Qurtubi yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan khalifah di sini ialah Nabi Adam a.s. sahaja dan inilah pandangan  yang telah banyak diperkatakan oleh sebahagian ‘ulama’ tafsir[12] iaitu bagi menggantikan kaum jin[13]. Pengarang al-Manar pula mengatakan bahawa khalifah di sini membawa maksud Nabi Adam a.s. serta anak cucu Baginda a.s.[14] Kebenarannya ialah sesungguhnya Nabi Adam a.s adalah pengganti Allah Ta’ala di muka bumi untuk mendirikan semua hukum-hukum Allah dan melaksanakan perintah-perintahNya[15] dan inilah pandangan yang telah dikemukakan oleh ramai ‘ulama’ tafsir[16].

Ü Imam al-Suyuti mengambil riwayat daripada al-Hakim iaitu daripada Ibn ‘Abbas r.a. : “Ketika Allah mengeluarkan Adam a.s. daripada syurga iaitu sebelum Adam a.s. masuk  ke dalam Syurga, Allah telah berfirman : “ِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ “. Peristiwa ini berlaku sebelum Adam a.s. dicipta iaitu dalam jangka masa 2000 tahun selepas Allah jadikan jin daripada kalangan Bani Jin. Golongan jin ini telah banyak melakukan kerosakan di atas muka bumi dan telah banyak menumpahkan darah sehinggalah Allah mengutuskan bala tentera daripada kalangan Malaikat untuk memukul mereka dan mencampakkan mereka ke kepulauan-kepulauan laut. Tatkala Allah berfirman bahawa Allah akan menjadikan khalifah di atas muka bumi, para Malaikat pun berkata “ Adakah Engkau (Allah) hendak menjadikan orang yang akan melakukan kerosakan dan pembunuhan sebagaimana yang telah dilakukan oleh golongan jin tersebut ?”. Kemudian Allah pun berfirman bahawa Allah itu Maha mengetahui tentang sesuatu yang para Malaikat tidak ketahui ”[17].
Ü Muhammad Rasyid Rida pula mengatakan bahawa lafaz “خَلِيفَة “ sebagaimana yang telah diperkatakan oleh ‘ulama’ tafsir terbahagi kepada dua pandangan[18] iaitu :-

o   Menggantikan satu kelompok ataupun lebih yang terdiri daripada haiwan natik yang telah berada di muka bumi yang telah banyak melakukan kerosakan dan pembunuhan

o   Menggantikan Allah Ta’ala.

Ü  Kejadian dan penciptaan manusia dengan pelbagai kelebihan yang telah dianugerahkan oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi adalah bukti yang jelas terhadap keajaiban penciptaan Allah Ta’ala yang mengandungi rahsia-rahsia penciptaan[19].


2.       وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ  قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ

            Maknanya :-

Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?".


Ü   Seolah-olah para Malaikat dapat mengetahui tentang hal yang demikian itu dengan ilmu yang khas ataupun melalui pengetahuannya tentang tabiat semula jadi manusia[20] iaitu membuat kerosakan dengan kemaksiatan dan berbunuh-bunuhan tanpa hak[21]. Akan tetapi, kata-kata para Malaikat itu bukanlah untuk menentang Allah Ta’ala, bukan juga disebabkan sifat hasad Malaikat sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian mufassirin. Ini kerana, Allah sendiri telah berfirman bahawa para Malaikat itu tidak akan berkata dan tidak akan bertanya melainkan setelah mendapat keizinan daripada Allah Ta’ala[22].

Ü  Maksud yang sebenarnya ialah, sebenarnya para Malaikat itu hendak meminta penjelasan daripada Allah Ta’ala lalu Malaikat pun berkata “ Wahai Tuhan kami ! Apakah hikmah disebalik kejadian mereka itu kerana akan ada dikalangan mereka itu yang akan merosakkan bumi serta menumpahkan darah?, Jikalau mereka itu beribadah kepadaMu, maka kami senantiasa bertasbih dan mensucikanMu”[23].

Ü  Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa kata-kata Malaikat itu adalah untuk meminta kepada Allah Ta’ala agar Allah menggantikan Bani Adam itu dengan mereka di bumi, lalu Allah pun berfirman bahawa sesungguhnya Allah Ta’ala lebih mengetahui tentang segala-galanya dan kehidupan para Malaikat di langit itu adalah lebih baik dan lebih layak bagi mereka berbanding tinggal di bumi[24].

Ü  Ayat “  وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ  “ ini pula sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh al-Baghawi yang diambil daripada kata-kata al-Hasan ialah selawat yang diucapkan oleh semua makhluk dan binatang-binatang dan disebabkan selawat inilah mereka semua diberikan rezeki. Al-Baghawi juga ada mengambil satu hadith RasuluLlah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Dhar r.a[25]. :-

            عن رسول الله صلى الله عليه وسلم : سئل أى الكلام أفضل ؟
 قال : " ما اصطفاه الله لملائكته أو لعباده سبحان الله وبحمده "

Maknanya :-

Daripada RasuluLlah s.a.w. : ditanya tentang apakah kata-kata yang terbaik ? RasuluLlah s.a.w. pun bersabda : “ Iaitulah kata-kata yang telah disucikan oleh Allah kepada para MalaikatNya dan juga hamba-hambaNya “سبحان الله وبحمده “.

Ü  .“وَنُقَدِّسُ لَك   “ pula membawa maksud bahawa para Malaikat memuji dan mensucikan Allah Ta’ala daripada sesuatu yang tidal layak dengan keagungan dan ketinggian Allah Ta’ala[26].


3.                  قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maknanya :-

Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Iaitu Allah mengatakan bahawa Allah itu lebih mengetahui tentang kemaslahatan[27] yang tersembunyi[28] di dalam penciptaan manusia berbanding kerosakan dan keburukan yang telah disebutkan oleh para Malaikat. Allah berkata bahawa Allah akan menjadikan daripada kalangan manusia itu para nabi, para rasul, para siddiqin, para syuhada’, orang-orang yang soleh serta hamba-hamba yang senantiasa tunduk dan patuh terhadap perintah Allah disamping cinta dan kasih terhadap Nya[29].

Dikatakan juga bahawa Allah telah berkata kepada para Malaikat bahawa Allah lebih mengetahui tentang kewujudan iblis dan iblis itu bukanlah sebagaimana yang telah disifatkan oleh para Malaikat[30]. Dikatakan juga bahawa sesungguhnya Allah lebih mengetahui bahawa ada dikalangan para Malaikat itu yang membuat maksiat kepada Allah iaitu iblis dan ada juga di kalangan manusia itu yang membuat maksiat akan tetapi Allah mengampunkan mereka[31].


[1] Ahmad Mustafa al-Maraghi (1984), Tafsir al-Maraghi, Cetakan Ketiga, Juzu’ Pertama, hlm. 77
[2] Al-Suyuti, ‘Abd al-Rahman bin al-Kamal Jalal al-Din (1983), Tafsir al-Durr al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur, Cetakan Pertama, Juzu’ Pertama, Beirut : Dar al-Fikr,, hlm. 114. Imam al-Suyuti banyak membawakan riwayat-riwayat daripada para sahabat RasuluLlah s.a.w. seperti Ibn ‘Abbas r.a. dan juga pandangan-pandangan yang dibawakan oleh anak murid Ibn ‘Abbas seperti Mujahid, Sa’id bin Jubir dan sebagainya.
[3] Ibn Kathir, Abi al-Fida’Isma’il bin Kathir (2000), Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Cetakan Pertama, Jilid Pertama, Beirut : Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, hlm. 87
[4] Muhammad Rasyid Rida (1993), Tafsir al-Qur’an al-Hakim al-Syahir bi Tafsir al-Manar, Juzu’ Pertama, Beirut : Dar  al-Ma’rifah, hlm. 251. Muhammad Rasyid Rida mengatakan bahawa ustaz beliau (Muhammad ‘Abduh) mengatakan bahawa ayat berkenaan penciptaan khalifah ini adalah merupakan ayat mutasyabihat yang tidak boleh ditafsirkan hanya dengan melihat kepada zahir ayat kerana ditakuti ianya akan membawa kepada pentafsiran yang tidak sesuai dan tidak layak dengan Allah Ta’ala dan para Malaikat. Beliau juga mengatakan bahawa ijma’ ‘ulama’ Islam bersepakat bahawa Allah adalah tersuci daripada semua makhluk dan semua yang bercanggah dengan nas-nas yang memperkatakan tentang kesucian Allah ini akan tertolak.
[5] Al-Baghawi, Abi Muhammad al-Husayn bin Mas’ud al-Farra’ al-Syafi’I (t.t.), Tafsir Al-Baghawi al-Musamma Ma’alim al-Tanzil, Juzu’ Pertama, Beirut : Dar al-Ma’rifah, hlm. 60
[6] Al-Suyuti, op.cit., hlm. 110
[7] Al-Baghawi, op.cit., hlm. 60
[8][8] Ibn Kathir (2000), op.cit., hlm. 86
[9] Ahmad Mustafa al-Maraghi (1984), op.cit., hlm. 80
[10] Ibn Kathir (2000), op.cit., hlm. 86
[11] Surah al-An’am, ayat 165
[12] Ibn Kathir (2000), op.cit., hlm. 86
[13] Al-Baghawi, (t.t.), op.cit., hlm. 60
[14] Muhammad Rasyid Rida (1993), op.cit., hlm. 258
[15] Al-Baghawi, (t.t.), op.cit., hlm. 60
[16] Ahmad Mustafa al-Maraghi (1984), op.cit., hlm. 80
[17] Al-Suyuti, op.cit., hlm. 111. Imam Suyuti juga banyak membawakan riwayat-riwayat daripada para sahabat RasuluLlah s.a.w. yang menceritakan tentang perangai buruk jin yang banyak melakukan kerosakan dan pembunuhan di atas muka bumi. Imam Suyuti juga membawakan riwayat-riwayat yang menceritakan tentang asal-usul penciptaan dan kejadian Nabi Adam a.s. serta sifat-sifat fizikalnya samada ketinggiannya dan sebagainya.
[18]Muhammad Rasyid Rida (1993), op.cit., hlm. 257
[19] Ahmad Mustafa al-Maraghi (1984), op.cit., hlm. 81
[20] Ibn Kathir (2000), op.cit., hlm. 86
[21] Al-Baghawi, (t.t.), op.cit., hlm. 60 lihat juga Ahmad Mustafa al-Maraghi (1984), op.cit., hlm. 81
[22] Ibn Kathir (2000), op.cit., hlm. 86
[23] Ibn Kathir (2000), op.cit., hlm. 86
[24]Ibn Kathir (2000), op.cit., hlm. 86
[25]Al-Baghawi, (t.t.), op.cit., hlm. 60
[26] Al-Baghawi, (t.t.), op.cit., hlm. 60
[27] Al-Baghawi, (t.t.), op.cit., hlm. 60
[28] Ahmad Mustafa al-Maraghi (1984), op.cit., hlm. 81
[29] Ibn Kathir (2000), op.cit., hlm. 86
[30] Ibn Kathir (2000), op.cit., hlm. 86
[31] Al-Baghawi, (t.t.), op.cit., hlm. 60